Hannah bidas kenyataan berunsur perkauman Guan Yik

HANNA YEOH
HANNA YEOH
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh membidas kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan oleh bekas pemain badminton negara, Bong Guang Yik.

Hannah berkata, hasil semakan yang dibuat Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Guan Yik hanya merupakan bekas pemain pelapis percubaan BAM pada tahun 2014 dan kini tidak menetap di Malaysia.

“Saya tidak bersetuju dengan ucapan media sosial beliau dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun beliau telah meminta maaf.

“Saya percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan. Ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia,” katanya menerusi Twitter pada Isnin.

Beliau turut mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa sukan mesti bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik.

“Semua atlet negara merupakan sumber inspirasi kepada masyarakat dan dinasihati berhati-hati dengan kandungan media sosial masing-masing,” ujarnya.

Guan Yik yang kini berada di China mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman menerusi akaun TikToknya.