Napoli hampiri gelaran Serie A

Pemain Napoli meraikan kejayaan menumpaskan Cremonese 3-0 dalam saingan Serie A di Milan pada Isnin. - Foto EPA
Pemain Napoli meraikan kejayaan menumpaskan Cremonese 3-0 dalam saingan Serie A di Milan pada Isnin. - Foto EPA
A
A
A

IMPIAN Napoli untuk menamatkan kemarau trofi dalam tempoh tiga dekad semakin hampir untuk direalisasikan.

Pasukan itu memperoleh tiga mata berharga setelah menewaskan pasukan bawahan, Cremonese 3-0 awal pagi Isnin meletakkan mereka di depan dengan kelebihan 16 mata untuk menghampiri gelaran Serie A.

Pemain sensasi, Khvicha Kvaratskhelia dan Victor Osimhen menjadi tonggak buat skuad kendalian Luciano Spalletti di Stadio Maradona untuk menamatkan penantian 33 tahun.

Pemain sayap, Kvaratskhelia memberikan kelebihan buat Napoli hasil jaringan individu menarik pada minit ke-22 pada hari lahirnya yang ke-22.

Osimhen meledak jaringan ke-17 musim ini pada pertengahan babak kedua dan Eljif Elmas turut mencatat nama selaku penjaring 11 minit sebelum tamat untuk mengesahkan kemenangan mereka.

Kemenangan keenam berturut-turut dalam liga memberikan Napoli sekurang-kurangnya kelebihan 13 mata menjelang aksi Inter Milan awal pagi Selasa, pencabar terdekat mereka yang akan ke Sampdoria.

"Bandar ini (Milan) sentiasa memastikan kami bersedia. Kami semua mahu menang," ujar Spalletti.

Beliau berkata, para pemain perlu meneruskan momentum kemenangan dan fokus dengan setiap perlawanan yang dilalui.

"Kami perlu melaluinya satu persatu. Kami tidak boleh merasakan ia sudah berakhir atau memikirkan mengenai perkara lain atau merasakan ia akan berlaku sendiri.

"Kami perlu melakukan semuanya sendiri," kata Spalletti.