Semua parti digesa hormati perlembagaan, perjanjian kaum

Razman
Razman
A
A
A

IPOH - Pas Perak meminta semua parti politik menjunjung perlembagaan negara dan menghormati asas perjanjian kaum yang membentuk kemerdekaan.

Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria berkata, semua hak yang termaktub dalam perlembagaan itu adalah satu persefahaman dibina untuk pembentukan negara.

Menurutnya, sebarang usaha menyentuh perkara berkaitan hanya akan menggugat keselamatan negara dan keharmonian masyarakat.

"Semua hak yang telah termaktub hendaklah dipatuhi dan dihormati, mempertikaikan hak orang Islam dan sensitiviti orang Melayu mestilah dielakkan.

"Mengkritik amalan agama Islam, mempertikaikan tulisan jawi, keistimewaan orang Melayu seperti dalam perkhidmatan awam, peruntukan Islam sebagai agama negara serta kedaulatan institusi raja Melayu adalah perkara boleh mencetuskan suasana tidak harmoni dan menggugat keselamatan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, Pas sebagai parti berteraskan politik Islam yang menekankan keadilan, keharmonian dan kestabilan negara sangat mengambil berat terhadap sebarang usaha yang menggugat kedaulatan dan hak yang termaktub dalam perlembagaan.

Katanya, pihak berkuasa diharap dapat menggunakan setiap ruang undang undang yang wujud bagi mencegah budaya negatif yang menggugat keselamatan negara.

"Pas memantau secara dekat perkembangan politik negara khasnya di Perak. Kita juga mengikuti secara serius budaya politik yang di bawa DAP.

"Oleh itu, Pas sentiasa bersedia memberi dokongan kepada pihak berkuasa bagi menjamin keamanan negara serta keharmonian kaum di negara ini terpelihara," katanya.