Yakub wakil UMNO-BN dalam rundingan Kerajaan Perpaduan Sabah

Yakub Khan
Yakub Khan
A
A
A

KOTA KINABALU - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan dilantik sebagai wakil UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah dalam melakukan rundingan dengan kerajaan Perpaduan Sabah.

Keputusan itu diambil selaras dengan ketetapan BN untuk memberi sokongan dan mendokong Kerajaan Perpaduan Sabah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia sejajar dengan ketetapan parti-parti di peringkat Persekutuan yang telahpun membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.

"Sebuah Sekretariat Tetap Kerajaan Perpaduan Malaysia telah dibentuk untuk menyelaras semua parti-parti yang mengasaskannya.

"Ini termasuk ketetapan Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bersidang pada 7 Februari lalu untuk diwujudkan Sekretariat serupa di peringkat negeri-negeri termasuk Sabah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, BN Sabah dipertanggungjawabkan bagi menggembleng segala usaha dan upaya untuk memastikan agenda perpaduan ini dapat direalisasikan sekali gus memberikan khidmat bakti terbaik kepada rakyat Sabah melalui Kerajaan Perpaduan Sabah.

"BN Malaysia menamakan Datuk Yakub Khan selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah untuk mewakili UMNO dan BN Sabah dalam perundingan dengan Kerajaan Perpaduan Sabah," katanya.