Pemilik syarikat direman kes agih kuota umrah

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pemilik syarikat direman empat hari untuk membantu siasatan kes pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan bagi agensi pembekal perkhidmatan umrah.

Menurut sumber, reman lelaki berusia 36 tahun itu bermula Ahad.

"Siasatan masih dijalankan dan SPRM tidak tolak kemungkinan akan menahan beberapa lagi individu bagi mengesan dokumen berkaitan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, Pengarah Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Tan Kang Sai ketika dihubungi Sinar Harian, mengesahkan reman terbabit untuk siasatan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan penahanan lelaki itu dibuat di sekitar Lembah Klang pada Sabtu.

Pada Khamis, SPRM telah menahan enam individu berusia 34 hingga 55 tahun terdiri daripada pengarah serta kakitangan syarikat pelancongan membabitkan enam buah syarikat menerusi operasi khas di empat buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.

Ini sekali gus membongkar sindiket menentukan pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan bagi agensi-agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah kononnya berbentuk komisyen.

Modus operandi sindiket ialah mengenakan bayaran rasuah berjumlah antara RM50 hingga RM250 bagi setiap kuota tiket bagi jemaah umrah.

Bayaran ini bagi memastikan agensi-agensi umrah mendapat kuota tempat duduk dalam setiap penerbangan yang dijadualkan.

Sindiket ini dipercayai telah menjalankan kegiatan ini sejak 2018 lagi dan setakat ini dipercayai sebanyak 216,000 tiket telah diagihkan dengan bayaran rasuah sekurang-kurangnya berjumlah RM10.8 juta.