Wanita maut, dua cedera kereta terbabas langgar lori

Keadaan kereta Perodua Alza dan lori yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.
Keadaan kereta Perodua Alza dan lori yang terbabit dalam kemalangan berkenaan.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang wanita maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan berhampiran Felda Semenchu, Bandar Penawar dekat sini pada malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, wanita berusia 43 tahun itu meninggal dunia dilokasi kejadian dipercayai akibat cedera parah dalam kemalangan terbabit.

Menurutnya, polis menerima laporan mengenai kemalangan berkenaan melibatkan sebuah kereta Perodua Alza dan lori jenis Daihatsu.

"Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa bersama suami yang berusia awal 44 tahun dan anak perempuan mereka, 17 tahun dalam perjalanan dari rumah di Felda Air Tawar 4 menghala ke Felda Semenchu.

"Hasil siasatan, kemalangan disyaki berpunca akibat pemandu Alza yang gagal mengawal kenderaannya hingga melanggar lori yang berada di hadapan sehingga menyebabkan mangsa (isteri), meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah," katanya pada Ahad.

Suami dan anak perempuan pasangan berkenaan dihantar ke Hospital Kota Tinggi bagi mendapat rawatan lanjut manakala mayat mangsa dihantar ke unit forensik hospital berkenaan bagi tujuan bedah siasat.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ), 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Penawar, Izwani Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui talian merss999 pada jam 8.07 malam Sabtu.

Beliau berkata, sebaik menerima panggilan seramai lapan anggota dengan satu jentera LFRT dari BBP Penawar telah dikejarkan ke lokasi.

"Setibanya di lokasi, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati seorang mangsa tersepit di dalam Perodua Alza sebelum membuat tindakan menyelamat, namun mangsa yang tersepit disahkan telah meninggal dunia," katanya.