Polis tahan empat ahli sindiket along Singapura

Bahrin menunjukkan barang yang dirampas selepas menahan empat ahli sindiket along pada sidang akhbar di IPD Kluang, Kluang pada Ahad.
Bahrin menunjukkan barang yang dirampas selepas menahan empat ahli sindiket along pada sidang akhbar di IPD Kluang, Kluang pada Ahad.
A
A
A

KLUANG - Empat ahli sindiket along termasuk seorang wanita ditahan selepas melakukan perbuatan khianat terhadap peminjam wang ceti haram tersebut di sebuah rumah teres di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, tiga lelaki serta seorang wanita berusia 27 hingga 35 tahun ditahan di sebuah hotel bajet di Johor Bahru pada jam 7.15 petang.

"Hasil siasatan awal mendapati semua empat suspek adalah warga tempatan yang tinggal di Johor Bahru dan pekerjaan khianat ini diperolehi secara atas talian dipercayai majikannya adalah warga negara jiran, Singapura.

"Semakan turut mendapati seorang suspek mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah selain dikehendaki polis di daerah Muar.

"Seorang lagi suspek adalah orang dikehendaki polis di Bandar Sri Alam, Johor Bahru serta mempunyai tiga rekod kesalahan lampau berkaitan narkotik," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini pada Ahad.

Menurut Bahrin, dua lagi suspek iaitu seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing mempunyai satu dan dua rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan narkotik, manakala hasil ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah.

Beliau berkata, mereka menerima upah lumayan RM700 bagi sebuah rumah untuk melakukan kerja-kerja itu yang dilakukan secara sambilan bagi menambah pendapatan dan aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak awal Januari lalu.

Selain itu, Bahrin berkata, pihaknya turut membuat rampasan antaranya tujuh bungkusan plastik mengandungi cecair warna merah dipercayai bahan cat, empat buah telefon bimbit pelbagai jenama, dua helai kertas putih tercatit alamat-alamat rumah yang dijadikan sasaran untuk simbah cat dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

Semua suspek katanya, ditahan reman selama lima hari sehingg 14 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.