Turkish Karadeniz hantar dua kapal 'lifeship' ke Hatay

Kapal Karadeniz Suheyla Sultan dan Karadeniz Rauf Bey akan digunakan buat kali pertama untuk tujuan misi bantuan kemanusiaan. - Foto Anadolu Agency
Kapal Karadeniz Suheyla Sultan dan Karadeniz Rauf Bey akan digunakan buat kali pertama untuk tujuan misi bantuan kemanusiaan. - Foto Anadolu Agency
A
A
A

LONDON - Kapal penyelamat (lifeship atau lifeboat) yang dibangunkan oleh Turkish Karadeniz Holding dengan kapasiti 3,000 orang yang turut dilengkapi dengan kemudahan dapur, pusat pendidikan, taska dan poliklinik akan berlepas ke Hatay-Iskenderun untuk menyediakan tempat perlindungan kepada mangsa gempa bumi Turkiye.

Menurut syarikat itu, kapal Karadeniz Suheyla Sultan dan Karadeniz Rauf Bey akan digunakan buat kali pertama untuk tujuan misi bantuan kemanusiaan.

Kapal itu akan berlepas dari limbungan di Yalova di wilayah Marmara menuju ke Hatay-Iskenderun, satu daripada bandar yang paling terjejas teruk akibat dua gempa bumi kuat yang melanda pada 6 Februari.

Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6 yang berpusat di wilayah Kahramanmaras di selatan Türkiye menjejaskan 13 juta orang di 10 wilayah termasuk Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa serta negara lain di rantau itu.

Kapal itu boleh digunakan sehingga 20 hari dan tidak memerlukan pelaburan infrastruktur tambahan.

"Kapal yang dibangunkan sebagai kapal bantuan kemanusiaan kecemasan itu boleh beroperasi sendiri dan tahan dengan cuaca dan bencana alam. Kami menumpukan seluruh tenaga dalam projek ini untuk segera membantu rakyat yang menghadapi bencana besar," menurut pegawai syarikat itu.

Pusat pendidikan yang terdapat pada kapal berkenaan boleh menampung sehingga sehingga 1,900 pelajar.

Karadeniz Süheyla Sultan mempunyai 72 bilik dengan setiap satu memuatkan 12 orang serta 116 bilik untuk empat hingga enam orang.

Karadeniz Rauf Bey pula mempunyai 150 kontena dengan setiap satu boleh memuatkan empat hingga enam orang dan ruang penginapan terbuka untuk 1,000 orang. - Bernama