Pelantikan Nazri wajar, keputusan bijak - Tian Chua

Tian Chua ditemui Sinar Harian di Majlis Pelancuran Buku Continuum oleh Raja Ahmad Aminullah di ibu negara pada Sabtu. Gambar kanan: Mohamed Nazri
Tian Chua ditemui Sinar Harian di Majlis Pelancuran Buku Continuum oleh Raja Ahmad Aminullah di ibu negara pada Sabtu. Gambar kanan: Mohamed Nazri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan seorang yang berpengalaman seperti Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat adalah wajar dan satu keputusan yang bijak.

Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua menyifatkan pelantikan Mohamed Nazri adalah tepat bagi mewakili negara untuk berunding dan menangani isu rumit serta sensitif dengan kuasa besar.

"Kita harus ingat, (nama) Datuk Seri (Mohammed) Nazri Aziz itu dicadangkan oleh kerajaan sebelum ini, tidak ada masalah sekiranya kita (kerajaan sekarang) teruskan dasar yang betul.

"Untuk Duta ke Amerika Syarikat, Amerika Syarikat sebuah kuasa besar, kita perlukan seorang yang sangat berpengalaman, ia juga perlu setaraf dengan Menteri Luar Negeri.

"Jadi saya rasa, dalam kalangan ahli-ahli politik yang ada, Datuk (Mohamed) Nazri layak dari segi pengalaman dan jangan pandang apa kecenderungan politik beliau tapi bagi saya dia memang layak," katanya.

Beliau mengulas mengenai perlantikan Mohamed Nazri sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat ketika ditemui Sinar Harian di Majlis Peluncuran Buku Continuum oleh Raja Ahmad Aminullah di ibu negara pada Sabtu.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 10 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia termasuk Mohamed Nazri sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan berkata, Nazri yang juga graduan Lincoln's Inn di United Kingdom dipilih kerana pengalaman luasnya sebagai anggota pentadbiran negara.

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar memaklumkan bahawa pelantikan Mohamed Nazri sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat dilakukan setahun lalu.

Perdana Menteri berkata, watikah baharu dilakukan disebabkan Amerika Syarikat mengambil masa sehingga enam bulan untuk mengesahkan pelantikan terbabit.

Anwar turut memohon supaya Yang di-Pertuan Agong menunda pelantikan tersebut agar beliau dapat menyusun jemaah menteri terlebih dahulu.