Agong kurnia watikah pelantikan 10 perwakilan ke luar negara

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama Ketua-ketua Perwakilan Malaysia ke Luar Negara selepas Istiadat Penerimaan Watikah Pelantikan di Istana Negara pada Khamis. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama Ketua-ketua Perwakilan Malaysia ke Luar Negara selepas Istiadat Penerimaan Watikah Pelantikan di Istana Negara pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 10 perwakilan Malaysia ke luar negara, di Istana Negara di sini.

Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Ketua-ketua Perwakilan Malaysia ke luar negara yang baharu dilantik ialah Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin @ Syed Hussin dan Duta Besar Malaysia ke Republik Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony.

Turut menerima watikah pelantikan ialah Duta Besar Malaysia ke Holy See Hendy Anak Assan, Duta Besar Malaysia ke Sweden Hafizah Abdullah, Duta Besar Malaysia ke Brazil, Gloria Corina Anak Peter Tiwet dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, Ruzaimi Mohamad.

Selain itu, Duta Besar Malaysia ke Republik Czech, Suzilah Mohd Sidek; Duta Besar Malaysia ke Timor Leste, Amarjit Singh Sarjit Singh dan Duta Besar Malaysia ke Kuwait, ‘Alauddin Mohd Nor.

Hadir sama Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin. - Bernama