Kekurangan pekerja punca bekalan telur terganggu - Mat Sabu

Mohamad (tengah) ketika bercakap kepada media pada Sabtu.
Mohamad (tengah) ketika bercakap kepada media pada Sabtu.
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) akan mengatasi masalah kekurangan pekerja yang menjadi antara faktor kekurangan bekalan telur ayam di negara ini menjelang Ramadan dan Aidilfitri ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagi mengatasi masalah itu pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia.

" Penternak diminta melipatgandakan pengeluaran telur, kalau mereka tak cukup pekerja sekarang, kita cuba memberi laluan mudah untuk mereka menambahkan pekerja.

"Sebab masalah utama mereka selain daripada masalah harga makanan dan sebagainya adalah kekurangan pekerja.

"Sekarang kita cuba atasinya di bawah Kementerian Dalam Negeri dan juga Kementerian Sumber Manusia, kita sedang bekerja kuat untuk menambahkan pekerja di sektor pertanian dan sektor yang lain," katanya selepas selesai merasmikan Persidangan Antarabangsa Palestin Kuala Lumpur (ICPKL) 2023 Solidariti buat rakyat Palestin di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keluhan daripada pengusaha makanan terutamanya kuih raya yang menggunakan bahan utamanya daripada telur, memaklumkan perniagaan mereka terjejas susulan kekurangan bekalan itu dalam pasaran.

Mohamad bagaimanapun tidak menolak kekurangan bekalan telur kerap berlaku pada musim perayaan dan ia sedang diatasi.

"Bekalan telur ini bermasalah kepada banyak negara di dunia ini sekarang termasuk kita," katanya.

Sementara itu, dalam program berkenaan seramai 500 delegasi daripada 20 negara turut menyertai persidangan yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat.

Menurut Mohamad, kerajaan Malaysia akan terus menyokong dan bersuara dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin malah kesedaran tentang perjuangan membebaskan bumi Palestin mesti diteruskan dalam apa juga keadaan sekali pun.

"Saya yakin bahawa perjuangan membebaskan bumi Palestin semakin mendapat sokongan terutama di negara Eropah khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mereka, sebab mereka lebih berfikiran di negara-negara Arab kadangkala tidak ada kebebasan berpolitik di negara itu malah mereka tidak maklumat yang sepatutnya," katanya.

Dalam pada itu Penasihat ICPKL 2023, Dr Fauziah Mohd Hasan berkata, seramai 500 delegasi daripada 20 negara turut menyertai program hari ini yang bertemakan 'The Caged Eye' iaitu simbolik solidariti kepada penderitaan tahanan rakyat Palestin dikurung dalam penjara rejim Zionis.

Dr Fauziah berkata, seramai 4,450 warga Palestin dipenjara oleh pihak rejim Zionis termasuk 160 kanak-kanak dan 32 wanita.