Mayat di lereng bukit: Pasangan kekasih disambung reman 6 hari

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SUBANG JAYA - Pasangan kekasih warga India yang diberkas sebelum ini berkaitan kes pembunuhan seorang lelaki disambung reman enam hari untuk siasatan lanjut pada Sabtu.

Ketua Polis daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kedua-dua suspek masing-masing berumur 30 dan 25 tahun itu ditahan bagi siasatan melibatkan mayat seorang lelaki yang juga suami kepada suspek wanita ditanam di lereng bukit belakang sebuah pusat jagaan orang tua di sini Mei pada tahun lalu.

"Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam bagi permohonan reman sebelum majistret membenarkan pasangan itu disambung reman selama enam hari lagi bermula 12 hingga 17 Februari ini untuk melengkapkan kertas siasatan.

"Kedua-dua suspek sebelum ini direman selama seminggu bermula 4 hingga 11 Februari membantu siasatan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Pada 4 Februari lalu, polis berjaya membongkar perbuatan kejam seorang lelaki yang dipercayai membunuh suami kekasihnya dan menanam mayat mangsa di lereng bukit belakang sebuah pusat jagaan orang tua di sini Mei tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada orang awam pada Khamis berkaitan pengakuan seorang lelaki warga India yang membunuh rakan senegaranya sebelum menanam mayat mangsa.

Susulan itu, polis turut menahan wanita warga India yang juga isteri mangsa dan kekasih kepada suspek.