'Tiada pujukan minta saya tak tanding Ketua Pemuda UMNO'

Muhamad Akmal Saleh
Muhamad Akmal Saleh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada sebarang pujukan supaya tidak bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada pemilihan parti itu kali ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, hasil perbincangan bersama beberapa ahli pasukan lain bersepakat untuk memilih Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan sebagai calon jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

"Sudah semestinya keputusan itu dicapai hasil menerusi mesyuarat bersama dengan rakan-rakan. Seperti semua sedia maklum, masing-masing mempunyai kekuatan tetapi UMNO memerlukan satu kepimpinan baharu yang kita rasakan mampu untuk menarik semua pihak.

"Jadi saya rasa pemimpin yang mampu untuk menyatupadukan semua Pemuda UMNO ini ialah Datuk Hasmuni.

"Sehubungan itu, saya katakan tiada pujukan (tidak tanding jawatan Ketua Pemuda UMNO) dan ini adalah hasil dari perbincangan bersama kami," katanya kepada pemberita pada sidang media di salah sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan Dr Muhamad Akmal tidak menolak akan mempertimbangkan untuk bertanding jawatan ketua pemuda di peringkat pusat pada pemilihan akan datang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, rakan-rakan seperjuangan meminta beliau untuk bertanding namun sehingga kini belum membuat sebarang keputusan sama ada akan bertanding atau sebaliknya.

Mengulas mengenai hasrat untuk bertanding jawatan itu sebelum ini, Dr Muhamad Akmal menjelaskan Pemuda UMNO memerlukan pemimpin yang matang dan dekat di hati Pemuda di setiap bahagian maka calon paling sesuai ketika ini ialah Hasmuni.

"Saya ambil kesempatan ini mengumumkan untuk tidak bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO dan memberikan ruang seluas-luasnya dan sokongan sepenuhnya kepada Datuk Hasmuni.

"Beliau seorang yang selalu bergerak dan sangat aktif di peringkat Pemuda di setiap bahagian dan saya percaya dengan kematangan dan kegigihan beliau, jadi saya percaya Pemuda berada di landasan sebenar," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, visi dan misi utama sekarang adalah memenangi PRU16 serta memenangi hati pengundi muda.

"PRU16 adalah visi dan misi kita. UMNO mesti menang pada PRU16 melalui Pemuda dan kita mahukan undi dari orang muda," ujarnya.

Pada petang Jumaat, Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada pemilihan parti itu kali ini.

Hasmuni turut memperkenalkan pasukannya dianggotai beberapa individu termasuk Dr Muhamad Akmal untuk bertanding jawatan lain pada pemilihan UMNO yang diadakan tidak lama lagi.