Ahmad Jais pengendali baharu skuad sepak takraw negara

Ahmad Jais menjadi taruhan PSM apabila dilantik ketua jurulatih baharu skuad sepak takraw negara.
Ahmad Jais menjadi taruhan PSM apabila dilantik ketua jurulatih baharu skuad sepak takraw negara.
A
A
A

BEKAS tekong negara, Ahmad Jais Baharun menjadi taruhan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) apabila dilantik ketua jurulatih baharu skuad sepak takraw negara.

Timbalan Presiden I PSM, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, pemilihan bekas pengendali Johor Tigress itu berdasarkan merit dalam tiga calon yang disenaraikan sebelum ini bagi memastikan skuad sepak takraw negara kembali menyaingi musuh tradisi Thailand.

“Kesungguhan Ahmad Jais untuk 'build up' dan keberkesanan kombinasi pemain menjadi antara kriteria utama pemilihannya.

“Selain itu, pengalaman sebagai tekong ketika membantu skuad negara meraih pingat emas Sukan Asia Hiroshima 1994 dan mengemudi Johor Tigress menjuarai Piala Emas Khir Johari pada Disember lalu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Halim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PSM juga memaklumkan' badan induk itu akan mewujudkan jawatankuasa pemantau dalam memilih para pemain untuk menyarung jersi negara.

“Seramai 37 pemain dikenal pasti untuk pemilihan (talent identification) ini bagi mencapai tahap kecergasan dan kemahiran pemain, bukan lagi berdasarkan seniority sebaliknya pelbagai aspek.

“Daripada itu, seramai 25 para pemain akan disenaraipendekkan bagi menjalani latihan bagi persiapan Sukan SEA 2023, Kemboja dan Sukan Asia 2022, Hangzhao, China.

“Pelantikan jurulatih skuad lelaki, wanita dan chinlone akan diputuskan dalam masa terdekat setelah selesai urusan pelepasan atau peminjaman dimuktamadkan PSM dan juga Majlis Sukan Negara MSN serta pihak majikan,” katanya yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Johor (PSJ).