100 pinggan Menu Rahmah Restoran Vanggey licin tiga jam

Azlan Shah menunjukkan Nasi Vanggey yang diperkenalkan dalam Menu Rahmah di restorannya di Greentown, Ipoh.
Azlan Shah menunjukkan Nasi Vanggey yang diperkenalkan dalam Menu Rahmah di restorannya di Greentown, Ipoh.
A
A
A

IPOH - Sebanyak 100 hidangan nasi kandar yang pertama kali diperkenalkan menerusi Menu Rahmah berjaya dihabiskan dalam tempoh tiga jam di Restoran Vanggey cawangan Greentown di sini pada Jumaat.

Pengurus restoran, Azlan Shah Saiful Jaafar Sadiq berkata, saranan daripada kerajaan menyediakan makanan berharga RM5 memberi peluang kepada pelanggannya menikmati juadah popular di pusat bandar itu.

"Kita menyahut saranan kerajaan dengan menyediakan nasi, ayam vanggey, sayur tauge goreng, sambal kelapa, kuah campur bersama air kosong.

"Sebanyak 100 pinggan disediakan setiap Jumaat bermula jam 11 pagi. Kebiasaannya menu ini dijual antara RM6.50 hingga RM7," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Menurutnya, kenaikan harga bahan mentah merupakan suatu cabaran dalam menyediakan Menu Rahmah ini.

"Pelanggan perlu maklumkan kepada kami terlebih dahulu kerana saiz hidangan adalah berbeza daripada hidangan biasa.

"Ayam Vanggey yang disediakan sedikit kecil memandangkan kos lain-lain perlu diambil kira," katanya.

Azlan Shah berkata, tawaran harga sebuah hidangan seimbang dapat membantu golongan sasar yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup.

"Saya berhasrat untuk meneruskan Menu Rahmah ini sehinggalah harga barangan kembali stabil.

"Pengenalan menu bajet ini, kami dapat menyumbang kembali kepada masyarakat terutama kepada golongan B40 dan pelajar," katanya.