Gantung tugas doktor cabul pesakit kanak-kanak - KPWKM

Laporan mengenai suspek (tengah) direman selama tujuh hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan kes.
Laporan mengenai suspek (tengah) direman selama tujuh hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan kes.
A
A
A

PUTRAJAYA - Doktor perubatan Hospital Kemaman yang didakwa mencabul kanak-kanak perlu digantung tugas sehingga kes selesai.

Gesaan itu disuarakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita (KPWKM) Keluarga Dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu menerusi kenyataan.

Menurutnya, kes amang seksual wajar diperangi habis-habisan dengan semua pihak mengambil tindakan yang paling serius dan tegas.

"Tidak kiralah ia dilakukan oleh 'predator' berpangkat apa sekali pun, tindakan keji seperti ini sangat merosakkan emosi dan masa depan kanak-kanak kita," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, kementerian memandang serius terhadap perkara itu.

"Saya bersama KPWKM akan mengikuti perkembangan kes ini secara rapat dan menyeru agar siasatan rapi dan teliti dijalankan apatah lagi berdasarkan penemuan awal terhadap beberapa gambar dalam telefon suspek menunjukkan kemungkinan lebih ramai kanak-kanak perempuan telah menjadi mangsa," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa mengesahkan doktor berusia 30 tahun itu ditahan pada 1.50 petang Khamis selepas pihaknya menerima laporan yang dibuat ibu mangsa pada malam Rabu.

Mangsa memaklumkan bahawa suspek merupakan seorang doktor yang merawatnya, telah membuka baju dan meraba dada serta merakam gambar-gambar mangsa melalui telefon bimbit milik suspek ketika berada di bilik rawatan.

Polis percaya terdapat ramai lagi mangsa kanak-kanak perempuan, berdasarkan penemuan awal terhadap beberapa gambar dalam telefon bimbit suspek.