SPRM bongkar sindiket rasuah agih kuota tiket umrah

Enam lelaki direman bagi membantu siasatan kes pengagihan kuota penerbangan dengan meminta rasuah berbentuk kononnya komisen.
Enam lelaki direman bagi membantu siasatan kes pengagihan kuota penerbangan dengan meminta rasuah berbentuk kononnya komisen.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar sindiket menentukan pengagihan kuota jumlah tempat duduk penerbangan bagi agensi-agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah kononnya berbentuk komisen.

Menurut sumber, SPRM menahan enam individu terdiri daripada pengarah serta kakitangan syarikat pelancongan membabitkan enam buah syarikat menerusi operasi khas di empat buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.

"Keenam-enam suspek berusia antara 34 hingga 55 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM, pada petang semalam (Khamis).

"Sebuah syarikat terbabit telah dilantik oleh sebuah syarikat penerbangan antarabangsa sebagai agen tunggal untuk mengurus dan mengagihkan kuota tempat duduk bagi setiap penerbangan mengerjakan umrah," katanya.

Tambah sumber, modus operandi sindiket ialah mengenakan bayaran rasuah berjumlah antara RM50 hingga RM250 bagi setiap kuota tiket bagi jemaah umrah.

Katanya, bayaran ini bagi memastikan agensi-agensi umrah mendapat kuota tempat duduk dalam setiap penerbangan yang dijadualkan.

"Sindiket ini dipercayai telah menjalankan kegiatan ini sejak 2018 lagi dan setakat ini dipercayai sebanyak 216,000 tiket telah diagihkan dengan bayaran rasuah sekurang-kurangnya berjumlah RM10.8 juta," katanya.

Kata sumber lagi, baru-baru ini, timbul isu berhubung kenaikan harga tiket penerbangan bagi mengerjakan umrah kerana terdapat sindiket yang memonopoli kuota tiket dan penjualan tiket dengan harga yang tinggi.

"Agensi-agensi pelancongan umrah terpaksa membayar kos tambahan berbentuk rasuah ini bagi memastikan kuota jemaah mereka mendapatkan tempat duduk penerbangan. Ini merupakan antara faktor kenapa harga tiket penerbangan umrah tinggi," ujarnya.

Susulan itu, keenam-enam suspek kini ditahan reman selama 4 hari bermula 10 hingga 13 Februari bagi siasatan lanjut.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin telah membenarkan permohonan tersebut selepas pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini (Jumaat).

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan menjelaskan bahawa dijangka akan lebih ramai ditangkap bagi membantu siasatan.