Jadikan insiden gempa bumi Turkiye, Syria iktibar

Kemusnahan akibat gempa bumi melanda di Turkiye. Foto: Xinhua
Kemusnahan akibat gempa bumi melanda di Turkiye. Foto: Xinhua
A
A
A

SHAH ALAM - Insiden gempa bumi berlaku di Turkiye dan Syria wajar dijadikan iktibar buat Malaysia agar sentiasa bersedia dan waspada terhadap ancaman bencana gempa.

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Selangor dalam satu kenyataan menyifatkan kejadian gempa bumi bukan satu perkara baharu, namun setiap kali berlaku ia pasti mencatatkan angka kematian yang tinggi.

Menurut parti itu, berdasarkan kajian, Malaysia juga tidak terlepas daripada ancaman bencana gempa bumi.



"Ia tiba tanpa sebarang amaran dan tiada teknologi manusia mampu meramal dengan tepat waktu dan tempat bakal berlakunya gempa bumi.

"Kejadian gempa bumi berskala 5.9 magnitud yang menggegarkan bumi Ranau, Sabah telah meragut 18 nyawa pada 5 Jun 2015, merupakan bukti dan fakta bahawa Malaysia tidak bebas dari ancaman gempa bumi.

"Walau bagaimanapun, masih kurang pendedahan pendidikan terhadap gempa bumi ini kepada rakyat Malaysia," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Muda Selangor menambah, begitu juga terhadap reka bentuk keselamatan bangunan anti-seismik perlulah diberi penekanan agar bangunan yang didirikan mempunyai daya tahan berhadapan dengan gelombang gempa.

"Ramai yang terkorban akibat bencana ini adalah disebabkan runtuhan bangunan.

"Jika ia tidak diberi perhatian, maka wajar bagi Malaysia berhadapan dengan keadaan yang mungkin tidak diduga," kata kenyataan.

Selain itu, Muda Selangor berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) perlu memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia terhadap bagaimana untuk mereka berhadapan dengan bencana seperti ini jika ia berlaku.