Hak jagaan anak perempuan Serina diserah kepada bekas suami

Gambar dari kiri: Serina, Gavin
Gambar dari kiri: Serina, Gavin
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis memerintahkan hak jagaan anak kedua pelakon, Serina Redzuawan diberikan kepada bekas suaminya, Gavin Edward O’luanaigh.

Mengesahkan perkara itu, peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Gavin, 46, atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar berkata, mahkamah membuat keputusan itu selepas menemu bual kanak-kanak berkenaan, Isabella Saffiya O’luanaigh, 12.

Semasa prosiding dihadapan Hakim Syarie Zalinah Ahmad, peguam syarie itu berkata, mahkamah berbual dan bertanya, mengenai pilihan anak kedua itu, sama ada mahu tinggal bersama ibunya, Serina atau bapa, Gavin.

Meskipun sebelum ini mahkamah telah memberikan hak jagaan kekal Isabella Saffiya kepada Serina manakala anak sulung, Tristan Tareef O’luanaigh,13, kepada Gavin, namun Zainul Rijal berkata, wanita itu tidak pernah mengambil anak keduanya itu tinggal bersama sehingga ke hari ini.

"Berdasarkan keputusan berkenaan, hak jagaan bagi kedua-dua anak mereka diberikan kepada Gavin sementara Serina diberikan hak lawatan dua minggu sekali," katanya.

Pada 27 Julai 2017, Serina telah memberikan hak penjagaan kekal dua anaknya itu kepada bekas suaminya itu melalui penghakiman persetujuan berdasarkan beberapa syarat dan terma lawatan yang telah dipersetujui bersama.

Pada 26 Februari 2018 lalu, Serina memfailkan permohonan untuk mengubah perintah hak jagaan kekal atas alasan Gavin tidak mengamalkan cara hidup Islam.

Pelakon itu bimbang anak-anaknya akan dibawa keluar dari Malaysia memandangkan keluarga bekas suaminya itu berada di London.

Bagaimanapun, pada Julai 2018, mahkamah menolak permohonan itu kerana hak penjagaan kekal yang dipersetujui bersama telah dicapai sebelum ini.

Mahkamah dalam keputusannya selain itu turut menegah Serina dan Gavin daripada membawa anak-anak mereka ke luar negara walaupun Serina memohon mahkamah tidak membenarkan bekas suami sahaja membawa anak ke luar negara.

Perintah itu terpakai sehingga kes induk permohonan Serina untuk mengubah perintah berkenaan.

Pada 26 Ogos 2020, mahkamah memutuskan hak penjagaan kekal terhadap Isabella Saffiya yang ketika itu berusia sembilan tahun diberikan kepada pelakon berkenaan manakala anak sulung kepada bekas suami, Gavin.

Gavin membuat rayuan terhadap sebahagian perintah tersebut pada tahun 2020 namun dua tahun kemudian, rayuan berkenaan ditolak.

Di dalam penghakiman, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa terdapat perubahan matan iaitu anak kedua boleh membuat pilihan dengan siapa beliau ingin tinggal.

Isabella Safiyya pada masa ini telah pun mencapai umur yang 'mumayiz' iaitu melebihi 10 tahun dan boleh membezakan antara yang baik dan buruk.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, Gavin memfailkan tuntutan untuk mengubah hak jagaan Isabella Saffiya pada 9 Februari 2022.

Sebahagian alasan Gavin selaku plaintif mahu mengubah perintah hak jagaan itu ialah disebabkan, Serina sebagai defendan telah berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan anak kedua tersebut.

Bukan itu sahaja, Gavin mendakwa, Serina kerap berpindah tempat tinggal.

Dia berkata, bekas isterinya itu kini didapati berpindah ke Arau, sekali gus menyukarkan wanita berkenaan untuk menjalankan tanggungjawab untuk memelihara keselamatan Isabella Saffiya.

Serina dan Gavin berkahwin pada 1 Januari 2010 namun bercerai di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos 2017 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua anak iaitu Tristan Tareef dan Isabella Saffiya.