Enam ditahan kes sindiket agih kuota tiket umrah

Enam lelaki direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya pada Jumaat, bagi membantu siasatan kes pengagihan kuota penerbangan bagi agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah berbentuk kononnya komisen.
Enam lelaki direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Putrajaya pada Jumaat, bagi membantu siasatan kes pengagihan kuota penerbangan bagi agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah berbentuk kononnya komisen.
A
A
A

PUTRAJAYA – Seramai enam lelaki direman empat hari oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Jumaat, bagi membantu siasatan kes pengagihan kuota penerbangan bagi agensi pembekal perkhidmatan umrah dengan meminta rasuah kononnya berbentuk komisen.

Majistret, Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Keenam-enam suspek berusia antara 34 hingga 55 tahun itu merupakan pengarah dan kakitangan syarikat pelancongan bagi enam syarikat di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah.

Mereka yang hadir di mahkamah dengan memakai baju lokap berwarna oren, ditahan sehingga Isnin depan.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Baru-baru ini, timbul isu kenaikan harga tiket penerbangan bagi mengerjakan umrah kerana telah dimonopoli sindiket, membabitkan kuota tiket dan penjualannya dengan kadar lebih tinggi.

Mengikut sumber, modus operandi sindiket ialah mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM250 bagi setiap kuota tiket.

Bayaran ini bagi memastikan agensi-agensi umrah mendapat kuota tempat duduk dalam setiap penerbangan yang dijadualkan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan menjelaskan bahawa dijangka lebih ramai individu akan ditangkap bagi membantu siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!