Polis tahan dua lelaki, rampas pistol bersama peluru hidup

Pistol yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Belukar Kubur, Labok Machang pada Khamis.
Pistol yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Belukar Kubur, Labok Machang pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menahan dua lelaki dan merampas sepucuk pistol bersama peluru hidup dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Belukar Kubur, Labok Machang pada Khamis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, serbuan dilakukan pada jam 5.30 petang selepas menerima laporan daripada seorang lelaki mendakwa diugut ketika berada di sebuah stesen minyak di Kuantan, Pahang.

"Serbuan melibatkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah dan Machang.

"Pemeriksaan ke atas kenderaan Nissan Grand Livina di hadapan rumah tersebut menemui satu bungkusan kain dan satu kotak di bawah tempat duduk pemandu yang mengandungi sepucuk pistol dan 13 butir peluru hidup," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, kedua-dua suspek berusia 27 dan 29 tahun itu kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

Jelasnya, polis percaya kes ini mempunyai kaitan dengan tangkapan seorang lelaki berusia 25 tahun di Tanah Merah Isnin lalu yang turut melibatkan senjata api.