Hatayspor tarik diri saingan Liga Super Turkiye

Hatayspor
Hatayspor
A
A
A

KELAB Hatayspor menarik diri daripada saingan Liga Super Türkiye berikutan gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu minggu ini, kata Presiden Kesatuan Kelab Türkiye, Ali Koc.

Pemain sayap Hatayspor dari Ghana, Christian Atsu masih hilang walaupun naib presiden kelab itu awal minggu ini berkata, dia telah diselamatkan daripada runtuhan akibat kecederaan dan dibawa ke hospital.

Media tempatan melaporkan pengarah sukan kelab itu, Taner Savut masih hilang atau berada di bawah runtuhan.

"Hatayspor menghantar surat. Mereka memberitahu kami bahawa mereka tidak akan bermain perlawanan musim ini," kata Koc pada sidang media bersama Presiden Persekutuan Bola Sepak Türkiye (TFF), Mehmet Buyukeksi.

“Jika Gaziantep FK juga mahu menarik diri daripada liga, kami merancang untuk meneruskan 17 pasukan, dengan syarat hak kedua-dua kelab ini kekal utuh,” katanya menambah Gaziantep masih belum membuat keputusan.

Wilayah Gaziantep berhampiran dengan pusat gempa bumi antara yang terjejas teruk dalam kejadian itu.

Hatayspor berada di kedudukan ke-14 dalam liga utama Turkiye manakala Gaziantep di tempat ke-10.

Sementara itu, Pengarah Hatayspor, Volkan Demirel pula tidak menjawab apabila diminta mengulas mengenai situasi tersebut.

Untuk rekod, penyambungan semula liga ditangguhkan lagi dijangka bermula semula pada 3 Mac depan.

Angka kematian akibat gempa bumi yang melanda Türkiye dan Syria melepasi 20,000 pada Khamis, dengan TFF mengesahkan beberapa pemain dan jurulatih dari seluruh bahagian telah terkorban.