Lelaki jatuh jambatan ditemukan lemas

Mayat mangsa ditemukan anggota penyelamat 20 meter dari lokasi mangsa dilihat kali terakhir di jambatan Paka, berhampiran Sungai Paka di Dungun. - Foto ihsan JBPM
Mayat mangsa ditemukan anggota penyelamat 20 meter dari lokasi mangsa dilihat kali terakhir di jambatan Paka, berhampiran Sungai Paka di Dungun. - Foto ihsan JBPM
A
A
A

DUNGUN - Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ditemukan lemas kira-kira 20 meter dari lokasi mangsa dilihat kali terakhir di jambatan Paka, berhampiran Sungai Paka di sini.

Komander Operasi, Mohd Aidil Khairim Abdul Wahab berkata, mangsa, Muhammed Hafiz Azizul Shah Izani, 31, ditemukan anggota penyelamat jam 4.12 petang pada Khamis.

Jelas beliau, mayat mangsa ditemukan pasukan penyelamat pada kedalaman satu meter di dasar sungai.

"Mangsa merupakan individu sama yang dikatakan hilang berdasarkan baju kemeja T putih dan seluar hitam yang dipakai.

"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi, di sini pada Khamis.

Sebelum ini, seorang lelaki yang menghidapi penyakit bipolar disorder dikhuatiri lemas selepas dikatakan terjatuh dari jambatan berkenaan dalam kejadian pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, kejadian itu disedari oleh seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui kawasan itu dan segera menghubungi talian kecemasan jam 9.10 malam.

Selain itu, beliau berkata, pihak polis turut menerima aduan berhubung kehilangan anggota keluarga yang dipercayai mempunyai kaitan dengan insiden tersebut.