DBKL angkut kereta, motosikal halang laluan

Kereta yang diambil tindakan. Motosikal yang diangkut kerana menyebabkan halangan.
Kereta yang diambil tindakan. Motosikal yang diangkut kerana menyebabkan halangan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak lapan motosikal dan enam kereta ditunda oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui tindakan khas terhadap kenderaan yang menggunakan laluan pejalan kaki dan laluan orang kurang upaya (OKU) sebagai tempat parkir pada Khamis.

DBKL memaklumkan, kenderaan yang diambil tindakan juga didapati ingkar dengan arahan papan tanda larangan parkir kenderaan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar, Jalan Bangsar.

Menurutnya, tindakan dijalankan berdasarkan maklum balas dan aduan yang diterima DBKL berkaitan terdapat peletakkan kenderaan awam melibatkan motosikal, kenderaan persendirian dan teksi yang dipakir di tempat yang tidak dibenarkan.

"Warden Trafik Jabatan Penguatkuasaan akan mengatur beberapa siri tindakan khas sekitar kawasan tumpuan (hotspot) secara berkala.

"Pada tindakan kali ini, kenderaan yang ditarik dialihkan ke Depoh Simpanan Tunda Kenderaan DBKL Jalan Pahang untuk tindakan lanjut termasuk pengeluaran notis kompaun dan penyimpanan sementara," menurut kenyataan di Facebook DBKL pada Khamis.

Kata kenyataan itu, DBKL turut mengeluarkan 44 notis kompaun atas pelbagai kesalahan lalu lintas lain sepanjang operasi tindakan dijalankan.

Tambahnya, kesemua tindakan dilakukan menerusi kesalahan dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

"Pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal diingatkan agar mematuhi peraturan dan isyarat lalu lintas yang telah ditetapkan pihak berkuasa.

"Pastikan kenderaan (motosikal /kereta) diletakkan ditempat sepatutnya tanpa menghalang dan mengganggu pejalan kaki atau kelancaran lalu lintas," katanya.