Hero kes Al-Maunah bersara selepas 36 tahun berkhidmat

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff (dua, kiri) memeriksa kawalan kehormat pada Perhimpunan Khas sempena persaraan beliau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang . Foto Bernama.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff (dua, kiri) memeriksa kawalan kehormat pada Perhimpunan Khas sempena persaraan beliau di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang . Foto Bernama.
A
A
A

KUANTAN - Hero dalam kes kumpulan Al-Maunah di Bukit Jenalik, Sauk, Perak, Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff, 60 menamatkan perkhidmatannya dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas lebih 36 tahun berkhidmat dalam pasukan itu.

Abdul Razak yang berpangkat Deputi Komisioner bersara berkuat kuasa pada Khamis dengan tugas terakhir sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang bermula Ogos tahun lalu.

Beliau yang dilahirkan di Melaka dan dibesarkan di Kedah sebelum ini berkhidmat dalam pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) Vat 69 sebelum dinaikkan pangkat dan dilantik sebagai orang nombor dua polis kontinjen Pahang.

Abdul Razak berkata, Vat 69 telah sebati dalam dirinya memandangkan hampir sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam pasukan itu sebelum berpindah ke IPK Pahang.

Beliau yang merupakan satu-satunya penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) yang masih berkhidmat dalam pasukan sebelum ini mengakui telah ada perancangan selepas bersara.

"Antara perancangan itu menyambung pengajian dan pada masa sama dalam proses menyiapkan penulisan buku tentang 'hidup berjasa'.

Abdul Razak menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota Polis Pahang pada perhimpunan khas sempena persaraan beliau di IPK Pahang pada Khamis
Abdul Razak menyampaikan sijil penghargaan kepada pegawai dan anggota Polis Pahang pada perhimpunan khas sempena persaraan beliau di IPK Pahang pada Khamis

"Perjuangan saya dalam pasukan telah berakhir namun bakti ini akan diteruskan supaya setiap perkara yang dilakukan boleh memberi manfaat kepada orang ramai," katanya.

Abdul Razak yang berpengalaman luas dalam tugas operasi sepanjang berkhidmat bagaimanapun agak keberatan untuk berkongsi kisah dilalui.

"Salah satunya peristiwa kes kumpulan Al-Maunah lebih 20 tahun lalu tapi tidak perlu ungkit perkara yang saya pernah lakukan dahulu takut jadi tidak ikhlas," ujarnya.

Selain dikenali dengan sifat beraninya, Abdul Razak juga seorang penerjun hebat apabila telah melakukan lebih 1,000 terjunan setakat ini.

Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang antara beliau dan pemangku, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Pahang, Senior Asisten Komisioner Noor Hisam Nordin disaksikan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.

Ramli berkata, bekas timbalannya itu seorang yang berani dengan perkhidmatan sangat cemerlang sepanjang berkhidmat.

"Kami warga Polis Kontinjen Pahang bangga apabila beliau dihantar berkhidmat di sini walaupun hanya kira-kira enam bulan," katanya.