Bot nelayan ditahan langgar syarat sah lesen

Bot nelayan yang didapati melanggar syarat sah lesen ditahan Maritim Malaysia Zon Mersing. - Foto Maritim Malaysia
Bot nelayan yang didapati melanggar syarat sah lesen ditahan Maritim Malaysia Zon Mersing. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

MERSING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Mersing menahan bot nelayan tempatan pada kedudukan 1.6 batu nautika timur Tanjung Resang, kira-kira jam 12 tengah hari pada Rabu.

Pengarahnya, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, penahanan tersebut dibuat bot Maritim Malaysia yang dalam rondaan Op Jaksa.

"Hasil pemeriksaan, bot yang dikendalikan oleh seorang tekong dan empat orang kru, di mana semuanya merupakan warga tempatan berusia dari 17 hingga 41 didapati melakukan kesalahan menunda kurang dua batu nautika dari pesisir pantai.

"Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, bot serta kru ditahan bersama 500 kilogram hasil laut sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia Teluk Gading untuk diserahkan untuk tindakan lanjut.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

"Sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau sebarang kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau MERS 999 untuk tindakan segera," katanya.