Kerajaan pastikan pertumbuhan ekonomi beri manfaat kepada rakyat

Mohd Rafizi Ramli
Mohd Rafizi Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan berusaha untuk memastikan angka pertumbuhan ekonomi yang ‘baik’ Malaysia dapat diterjemahkan kepada impak yang boleh dilihat dan dirasai oleh semua rakyat ketika negara kini telah bersedia untuk mencatat pertumbuhan berterusan pada masa hadapan, kata Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli.

Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara 4.0 dan 5.0 peratus pada tahun ini.

Untuk mencapai matlamat ini, Mohd Rafizi berkata, Malaysia memerlukan anjakan besar bukan sahaja di peringkat kerajaan tetapi juga dalam kalangan sektor swasta dan masyarakat.

''Kita semua perlu melalui banyak perubahan dan untuk mempercepat serta menerima perubahan ini agar kita tidak hanya mampu menahan cabaran, tetapi yang lebih penting, untuk merealisasikan banyak potensi yang belum dipenuhi dalam negara,' katanya.

Mohd Rafizi berkata demikian pada pelancaran Malaysia Economic Monitor edisi Februari 2023 Bank Dunia bertajuk Expanding Malaysia's Digital Frontier di sini pada Khamis.

Di peringkat kerajaan, beliau berkata, ia telah mula merancang dan membincangkan mengenai pengagihan semula sumber pertanian bagi meningkatkan produktiviti negara dan mengurangkan pergantungan kepada import asing.

Beliau menambah Belanjawan 2023 akan menyaksikan lebih banyak peruntukan diberikan kepada sektor pertanian bagi mencapai hasrat tersebut.

''Terdapat keperluan untuk memastikan pemulihan ekonomi dapat mengatasi krisis makanan ke atas isi rumah yang mudah terjejas berikutan kesan pandemik yang berlarutan sehinggalah kepada ketegangan geopolitik yang berpanjangan.

''Kami berharap dapat berkongsi dalam beberapa minggu dan bulan akan datang beberapa penempatan semula sumber,'' katanya sambil menambah program berterusan juga akan dianjurkan untuk memastikan sektor pertanian dan rantaian bekalan yang mampan di negara ini.

Kerajaan juga terus menyaksikan potensi pertumbuhan yang besar di sebalik pembangunan pendigitalan di negara ini yang boleh memberikan pendapatan yang lebih tinggi kepada rakyat.

Beliau berkata, melalui pembangunan infrastruktur digital, modal insan, kapasiti perniagaan dan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik, kerajaan berhasrat untuk merealisasikan strategi yang digariskan di bawah inisiatif ekonomi digital.

"Kami mesti mengambil peluang selepas Covid-19 kerana keadaan tidak lagi seperti biasa. Semoga peluang yang diberikan kepada kami sebagai pentadbiran baharu membolehkan kami membuat banyak pembaharuan dasar dan meletakkan rangka kerja yang betul,’’ katanya.

Mohd Rafizi berkata, kerajaan juga berharap penambahbaikan seterusnya dalam perbelanjaan domestik dan pasaran buruh akan membolehkan negara mula meletakkan dasar untuk meningkatkan peningkatan gaji/upah pada masa hadapan.

Namun begitu, beliau berkata risiko luaran akan berterusan muncul melalui gangguan dalam rantaian bekalan global.

"Kebimbangan besar saya ialah kita perlu menyedari akan permintaan global yang berkurangan dan kita masih tidak tahu apakah kesan kelembapan ketara di China.

''Tetapi, saya berpendapat kita berada dalam kedudukan yang baik. Walaupun kita sedar sepenuhnya tentang kelembapan ekonomi, terdapat juga beberapa potensi yang belum diterokai yang memberikan kita sedikit penampan,'' kata beliau sambil menambah antaranya daripada kemungkinan ketibaan semula pelancong dan hasil pertanian masa hadapan. - Bernama