PM Anwar tiba di Thailand untuk lawatan rasmi

Ketibaan Anwar disambut Timbalan Perdana Menteri Thailand dan Menteri Luar Don Pramudwinai, mewakili kerajaan Thailand.
Ketibaan Anwar disambut Timbalan Perdana Menteri Thailand dan Menteri Luar Don Pramudwinai, mewakili kerajaan Thailand.
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Thailand untuk lawatan rasmi dua hari bagi meningkatkan hubungan dua hala dan mengukuhkan kerjasama pelbagai aspek antara Malaysia dan Thailand.

Pesawat khas yang membawa Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendarat di Terminal Udara Tentera 2 pada pukul 1 tengah hari (waktu tempatan).

Ketibaan beliau disambut Timbalan Perdana Menteri Thailand dan Menteri Luar Don Pramudwinai, mewakili kerajaan Thailand.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel.

Ini merupakan lawatan rasmi sulung Anwar ke Thailand selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Lawatan ini adalah atas jemputan Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha.

Delegasi Malaysia turut dianggotai Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad, dan pegawai atasan kementerian dan agensi berkaitan.

Jadual padat menanti perdana menteri dalam rangka lawatan itu, yang akan dimulakan dengan jamuan minum petang bersama diaspora Malaysia.

Anwar akan menghadiri majlis sambutan yang akan dipengerusikan Prayuth di Rumah Kerajaan dan para pemimpin kemudian akan mengadakan mesyuarat dua hala untuk membincangkan langkah ke hadapan dalam memperkukuhkan kerjasama pelbagai aspek.

Bidang tumpuan termasuk kerjasama ekonomi, pembangunan kawasan sempadan dan projek ketersambungan utama merentasi sempadan darat.

Anwar dan Prayuth kemudian akan menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran empat memorandum persefahaman bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang tenaga dan ekonomi digital.

Anwar akan menghadiri majlis makan malam rasmi yang dihoskan oleh Prayuth sebelum mengakhiri program pada hari pertama.

Pada hari kedua lawatannya, Anwar dijadualkan menyampaikan ucapan mengenai "Masa Depan ASEAN" semasa pertemuan dengan pemimpin-pemimpin industri dan komuniti perniagaan, diikuti dengan jamuan makan tengah hari bagi menjalinkan hubungan rangkaian.

Beliau juga akan menyertai para jemaah untuk menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam Thailand.

Anwar dijadualkan berlepas pulang pada pukul 5 petang (waktu tempatan).

Ini merupakan lawatan rasmi antarabangsa keempat Anwar selepas Indonesia, Brunei dan Singapura sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 November tahun lepas. - Bernama.