Lelaki dikhuatiri lemas di jambatan Paka

Lokasi kejadian di jambatan Paka, dekat Sungai Paka di Dungun, Terengganu. -Foto: Ihsan Bomba
Lokasi kejadian di jambatan Paka, dekat Sungai Paka di Dungun, Terengganu. -Foto: Ihsan Bomba
A
A
A

DUNGUN - Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari jambatan Paka berhampiran Sungai Paka, di sini dalam kejadian malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.10 malam.

Menurutnya, kejadian itu disedari oleh seorang penunggang motosikal yang kebetulan melalui kawasan itu dan segera menghubungi talian kecemasan.

Selain itu, beliau berkata, pihak polis turut menerima aduan berhubung kehilangan anggota keluarga yang disyaki mempunyai kaitan dengan insiden tersebut.

"Siasatan awal mendapati mangsa berusia 31 tahun yang menghidap penyakit bipolar disorder (penyakit mental) dikatakan telah keluar dari rumah kira-kira jam 8 malam.

Lokasi kejadian di jambatan Paka, dekat Sungai Paka di Dungun, Terengganu. -Foto: Ihsan Bomba
Lokasi kejadian di jambatan Paka, dekat Sungai Paka di Dungun, Terengganu. -Foto: Ihsan Bomba

"Difahamkan, sebelum insiden mangsa sempat memberitahu ibunya bahawa dia mengalami sakit kepala dan ingin terjun ke dalam Sungai Paka," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Ujar beliau, pengadu memberitahu pakaian terakhir yang dipakai mangsa ketika keluar ialah kemeja T putih dan berseluar hitam.

Baharuddin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kini giat dilakukan oleh pasukan penyelamat dan anggota polis.