Lelaki terjun sungai elak dicekup polis ditemui lemas

Bomba mengusung mayat seorang lelaki ditemui lemas di dalam sungai berhampiran Taman Muara, Sungai Buloh di sini pada Ahad.
Bomba mengusung mayat seorang lelaki ditemui lemas di dalam sungai berhampiran Taman Muara, Sungai Buloh di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang lelaki ditemui lemas selepas terjun ke dalam sungai berhampiran Taman Muara, Sungai Buloh di sini ketika cuba melarikan diri daripada serbuan polis pada Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, mangsa berusia 31 tahun itu ditemui terapung oleh sepasukan nelayan kira-kira satu kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) pada jam 7.52 pagi Ahad.

"Bomba membawa mayat lelaki itu ke PKB dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Norazam berkata, pada masa ini pihaknya sedang menggerakkan usaha mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa yang turut sama terjun di sungai itu dalam kejadian terbabit.

Ujar beliau, mangsa berusia 24 tahun itu dikhuatiri lemas dan usaha pencarian diteruskan membabitkan kekuatan 15 pegawai dan anggota serta jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor.

"Operasi mencari mangsa memasuki hari kedua sejak operasi pertama pencarian dilakukan pada jam 8.56 malam pada Jumaat lalu," jelasnya.