[VIDEO] Menu Rahmah wujud situasi menang-menang

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menu Rahmah yang diwujudkan peniaga bukan sahaja memberikan manfaat kepada golongan memerlukan tetapi mampu menjadi tarikan kepada pelanggan seterusnya meningkatkan jualan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, hidangan makanan pada harga RM5 mewujudkan konsep penawaran dan permintaan antara peniaga dan orang ramai.

"Pada saya apabila Menu Rahmah itu menjadi popular dan peniaga mengambil peluang untuk menambahkan jualan, secara tidak langsung permintaan dan penawaran dalam pasaran menjadi realiti.

"Permintaan di pihak pengguna bagi mendapatkan makan tengah hari dan malam dengan kos yang sederhana, maka di pihak peniaga, mereka menawarkan apa yang diminta oleh pengguna. Maka ia mewujudkan situasi menang-menang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi dialog konsep wakaf sebagai instrumen ekonomi menangani kos sara hidup di sini pada Khamis.

Sebelum ini, dilaporkan lebih 15,000 restoran menawarkan Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau malam untuk golongan berpendapatan rendah (B40) bermula 31 Januari lalu.

Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata, pembinaan Kompleks Hospital Pakar di atas tanah wakaf yang dianggarkan bernilai RM616 juta menepati maqasid syariah bagi memartabatkan golongan yang disasarkan.

Projek kerjasama bersama Perbadanan Islam Johor (PIJ) dan Kencana Health Care Sdn Berhad membentangkan inisiatif pembangunan Hospital Pakar atas tanah wakaf Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) itu dijangka siap sepenuhnya dan beroperasi pada 2026.