Gerenti lulus: Dua pembantu penguat kuasa ditahan SPRM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan dua pembantu penguat kuasa kanan sebuah agensi kerajaan kerana disyaki menerima rasuah bagi urusan permohonan lesen memandu tanpa gagal atau gerenti lulus.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 40-an itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Selangor pada 3 petang Rabu.

"Penahanan suspek itu adalah susulan penahanan dua individu lain sebelum ini membabitkan seorang wanita yang juga pekerja sambilan dan seorang pengajar lelaki di sebuah sekolah memandu kerana disyaki meminta wang daripada calon ujian memandu sebagai dorongan bagi mendapatkan lesen ‘gerenti lulus’," katanya.

Tambah sumber tersebut, suspek masing-masing dipercayai menerima wang tunai berjumlah RM1,750 dan RM750.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

"Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok (Khamis) untuk permohonan reman bagi membantu siasatan," katanya.