Lelaki lari daripada polis berjaya ditahan

Gambar kiri: Kenderaan yang dipandu suspek. Gambar kanan: Peralatan yang dijumpai di dalam kereta suspek turut dirampas bagi membantu siasatan.
Gambar kiri: Kenderaan yang dipandu suspek. Gambar kanan: Peralatan yang dijumpai di dalam kereta suspek turut dirampas bagi membantu siasatan.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki melarikan diri dengan sebuah kereta di Damansara Damai, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sepasukan anggota polis dari unit kereta peronda (MPV) mengesan sebuah kereta Proton Wira warna kelabu dalam keadaan mencurigakan pada jam 2.30 pagi.

"Kenderaan yang dinaiki tiga lelaki itu telah melanggar lampu merah di hadapan sebuah sekolah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohamad Fakhrudin berkata, pihaknya cuba menahan kereta tersebut, namun dua suspek lelaki yang berada di dalam kenderaan tersebut telah keluar dan melarikan diri.

"Pemandu kereta itu pula memecut laju serta melulu dan melawan arus, sebelum melanggar sebuah kereta peronda polis sehingga menyebabkan kenderaan MPV mengalami kerosakan," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan yang ditinggalkan suspek telah menjumpai pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk melakukan kegiatan curi kenderaan.

"Hasil semakan, kita mendapati kenderaan yang digunakan oleh suspek itu masih dilaporkan hilang bersabit laporan di Ampang," katanya.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 18 tahun di kawasan sebuah apartment di Damansara Damai.

"Lelaki itu disyaki terlibat dalam kes yang disiasat pada hari yang sama," katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 28(1) akta sama dan Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.