JKM cari waris Nur Iman Madiha

Nur Iman Madiha
Nur Iman Madiha
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Seberang Perai Tengah sedang mengesan ibu bapa kandung seorang kanak-kanak perempuan dikenali Nur Iman Madiha berusia enam tahun.

Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Tengah, Noor Liza Azezool berkata, kanak-kanak itu ditinggalkan ibu bapa kandungnya yang juga warganegara Indonesia tanpa dokumen pengenalan diri sejak enam tahun lalu dan dijaga oleh penjaga, Mohd Fahmi Ismail dan isteri, Suhaila Mohtar.

Menurutnya, kanak-kanak itu ditinggalkan bapanya kepada penjaga semasa usianya sembilan hari.

"Bapanya ketika itu memberitahu hanya mahu pulang sementara ke Indonesia untuk membawa isterinya (ibu kandung kanak-kanak) mendapatkan perubatan alternatif atas masalah kesihatan.

"Namun hingga kini mereka tidak muncul dan laporan polis juga telah dibuat oleh penjaga," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Noor Liza berkata, permohonan pengecualian Seksyen 15(3) Akta Kanak-Kanak 2001 telah diluluskan untuk siaran media.

Beliau berkata, waris atau orang ramai yang mengenali ibu bapa kandung kanak-kanak berkenaan boleh menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, Puan Noraida di talian 04-538 2584.