Jawatankuasa mulakan runding agihan kerusi PRN - Asyraf Wajdi

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto: Bernama
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Foto: Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pengarah pilihan raya dan wakil parti gabungan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Parti Sabah (GRS) serta Parti Warisan (Warisan) akan mulakan rundingan agihan kerusi bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan, rundingan tersebut akan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Perundingan Kerusi yang ditubuhkan pada mesyuarat pertama sekretariat berkenaan.

"Jawatankuasa ini akan melibatkan pengarah-pengarah pilihan raya dan wakil-wakil parti gabungan utama (PH, BN, GPS dan GRS) dan Warisan untuk memulakan perundingan kerusi bagi menghadapi PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia pada Selasa telah bersetuju menubuhkan tiga jawatankuasa melibatkan semua parti dalam kerajaan.

Ia melibatkan Jawatankuasa Komunikasi Strategi, Jawatankuasa Perundingan Kerusi Pilihan Raya serta Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.

Dalam pada itu Asyraf yang juga Ketua Pemuda UMNO menjelaskan, Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik berfungsi untuk menyelaras dan menilai pencapaian dalam aspek pelaksanaan intipati manifesto parti-parti gabungan bagi manfaat rakyat terutama berhubung kesejahteraan hidup, bebanan kos sara hidup rakyat, pembangunan ekonomi serta kelestarian alam sekitar.

"(Selain itu) Menyediakan kertas-kertas perancangan strategik mengenai hala tuju kerjasama dan masa hadapan hubungan setiap parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, Jawatankuasa Komunikasi Strategik akan menyelaras dan merencanakan program penerangan bersama dalam kalangan parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan sehingga ke akar umbi di samping menangani optik dan naratif komunikasi kepada rakyat menggunakan pelbagai platform media.

Sementara itu mengenai Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia, Asyraf Wajdi memaklumkan, ia didukung oleh empat parti gabungan iaitu PH, BN, GPS dan GRS serta satu parti tunggal iaitu Warisan.

"Ini bermakna secara keseluruhannya terdapat 20 parti yang mendukung dan menyokong Kerajaan Perpaduan dengan jumlah 148 Ahli Parlimen yang menyamai dua pertiga majoriti dalam Parlimen.

“Mesyuarat sebulat suara bersetuju melantik Anwar sebagai Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof (Timbalan Perdana Menteri) selaku Setiausaha Agung dan saya selaku Ketua Sekretariat.

"Setiap ketua-ketua parti sama ada presiden ataupun bagi sesetengah parti Setiausaha Agung yang menjadi ketua parti akan dilantik secara automatik menjadi timbalan-timbalan pengerusi bagi Sekretariat Kerajaan Perpaduan," jelasnya.