Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 tawar 13,000 peluang kerja

Poster Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023.
Poster Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 13,000 peluang pekerjaan termasuk kira-kira 20 peratus daripadanya terbuka kepada golongan orang kurang upaya (OKU) membabitkan 140 syarikat dari pelbagai sektor dan industri pada Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula Sabtu hingga Ahad ini.

Selain itu, Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) turut diadakan untuk memperkenalkan skim perlindungan suri rumah itu lebih dekat dengan rakyat Malaysia.

Program selama dua hari itu dijangka dikunjungi lebih 5,000 pencari kerja di seluruh negara di samping menarik kehadiran pengunjung khususnya golongan suri rumah dan wanita serta badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyempurnakan Pelancaran SKSSR & Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 pada Sabtu ini.

Perkeso dalam kenyataan pada Rabu berkata, orang ramai boleh berinteraksi secara terus dengan agensi itu bagi memahami SKSSR dan manfaatnya dengan lebih mendalam.

"Selain itu, orang ramai boleh mendapatkan khidmat nasihat serta membuat pendaftaran SKSSR di booth yang disediakan.

"Suami dan pihak ketiga seperti badan-badan NGO atau syarikat swasta juga digalakkan menaja caruman bagi pihak suri rumah," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 adalah karnival berskala besar yang pertama pada tahun ini sebagai suatu inisiatif untuk meningkatkan peluang rakyat memperoleh pekerjaan berkualiti dan seterusnya mengurangkan kadar pengangguran serta memperkasa pasaran buruh.

Poster Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
Poster Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Tambah kenyataan itu lagi, karnival yang bermula pada jam 9 pagi hingga 5 petang itu bakal menyaksikan penglibatan majikan besar seperti Maybank, BSN, EXIM Bank, KTM Malaysia, ExxonMobil, UMW, UOA Group dan Avisena Healthcare.

"Pelbagai aktiviti perkhidmatan pekerjaan disediakan secara percuma akan turut diadakan sepanjang karnival antaranya penyediaan resume, pendaftaran portal MYFutureJobs serta bimbingan dan nasihat kerjaya.

"Pelbagai hadiah cabutan bertuah yang menarik juga menanti pengunjung sepanjang karnival berlangsung," katanya.

Menurut kenyataan itu, penganjuran karnival berkenaan merupakan salah satu usaha berterusan KSM melalui Perkeso untuk mewujudkan peluang pekerjaan secara mampan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan rentan seperti OKU.

"Ia juga menyokong usaha dan komitmen kerajaan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan ekonomi semasa dan pasca-pandemik Covid-19 terutama mereka yang kehilangan pekerjaan atau menganggur," ujarnya.

Justeru, Perkeso menyeru semua suri rumah dan pencari kerja di seluruh negara memanfaatkan peluang tersebut dengan berkunjung ke Pelancaran SKSSR & Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 pada hujung minggu ini.

Bagi pencari kerja, Perkeso menggalakkan mereka mendaftar di pautan www.myfuturejobs.gov.my/career sebelum hadir ke Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023.

Bagi para majikan yang berminat untuk turut serta dalam mana-mana karnival kerjaya anjuran Perkeso, mereka boleh menghubungi Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Perkeso di www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan Perkeso di talian 1-30022-8000.