Anwar adakan lawatan rasmi ke Thailand esok

Anwar (kiri), Prayuth (kanan)
Anwar (kiri), Prayuth (kanan)
A
A
A
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi pertama beliau ke Thailand selama dua hari bermula Khamis untuk bertemu rakan sejawatannya Prayuth Chan o-cha bagi membincangkan hala tuju dalam mengukuhkan kerjasama pelbagai hala antara Malaysia dan Thailand.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) memaklumkan lawatan Anwar ke Thailand selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 adalah atas undangan Prayuth.

"Pertemuan itu akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin membincangkan hala tuju kerjasama pelbagai bidang antara Malaysia dan Thailand. Bidang-bidang utama meliputi kerjasama ekonomi, pembangunan kawasan sempadan dan projek-projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan majlis pertukaran empat Memorandum Persefahaman dalam bidang kerjasama tenaga dan ekonomi digital.



"Kedua-dua pemimpin akan turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang berkepentingan bersama.

"Lawatan itu mencerminkan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Thailand yang dibina berasaskan kepercayaan dan perkongsian bersama.

"Hubungan rapat itu telah memberi manfaat kepada rakyat daripada kedua-dua negara hasil daripada kerjasama meluas dalam pelbagai sektor, terutama melalui kerjasama rentas sempadan,” katanya.

"Hubungan rapat itu telah memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara daripada kerjasama yang dilaksanakan dalam pelbagai sektor, terutamanya melalui kerjasama rentas sempadan,” menurut kenyataan itu.

Anwar juga dijadual mengadakan sesi libat urus dengan diaspora Malaysia di Bangkok.

Perdana Menteri akan diiringi isteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan delegasi Malaysia terdiri Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Dalam Negeri; Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad serta pegawai dari kementerian dan agensi yang berkaitan.

Pada tahun lepas, Thailand merupakan rakan dagangan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM122.03 bilion (AS$27.75 bilion), peningkatan sebanyak 17.9 peratus berbanding nilai yang dicatatkan pada tahun 2021.

Ini adalah lawatan rasmi antarabangsa keempat Anwar selepas Indonesia, Brunei dan Singapura sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November tahun lepas. - Bernama