Anwar sudah bincang dengan Badan Penasihat Khas

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan perbincangan dengan Badan Penasihat Khas kepada Menteri Kewangan berhubung tindakan ekonomi negara.

Bagaimanapun beliau tidak memperincikan tugasan yang telah diarahkan kepada badan tersebut.

"Ia. Saya sudah bincang," katanya selepas perhimpunan bulanan warga Kementerian Kewangan (MOF) di sini pada Rabu.

Menurutnya, Pengerusi Badan Penasihat Khas, Tan Sri Mohd Hassan Marican akan mengumumkannya kelak.

"Hassan akan umumkan," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada pasukan tersebut telah diberikan tugas berhubung tindakan ekonomi negara.

Semalam, Anwar mengumumkan kumpulan penasihat yang terdiri daripada golongan profesional serta pakar ekonomi bertanggungjawab bagi membantu menasihatinya selaku Menteri Kewangan.

Selain Hassan, empat lagi anggota badan penasihat khas itu ialah Pengerusi Eksekutif FVSB Sdn Bhd, Datuk Ahmad Fuad Md Ali; Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng; Profesor Ekonomi Universiti Malaya, Datuk Prof Ulung Dr Rajah Rasiah dan Pengerusi Sarawak Energy Berhad, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi.