Lebih 3,000 kunjungi Festival Haul Tok Pulau Manis

Sebahagian jemaah yang menunaikan solat Jumaat di Masjid Pulau Manis, Serada, hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Festival Haul Tok Pulau Manis yang julung-julung kali diadakan selama dua hari di Kampung Pulau Manis, di sini, menarik ribuan pengunjung dari seluruh negara.

Penyelaras festival, Muhamad Rafi Kori berkata, festival yang bermula hari ini itu bertujuan memperingati jasa tokoh ilmuwan agama terkemuka, Syeikh Abdul Malik Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tok Ku Pulau Manis.

Selain itu, katanya, ia juga mengeratkan hubungan kasih sayang dan perpaduan dalam kalangan pelbagai agama dan kaum.

"Banyak aktiviti menarik disediakan sesuai untuk seisi keluarga, selain pengisian wacana, kita ada juga persembahan kesenian dan kebudayaan di samping gerai jualan," katanya.

Beliau berkata, istimewanya festival ini ialah pengunjung lelaki dan wanita daripada pelbagai lapisan usia berbusana Melayu tradisional termasuk bertanjak sekali gus mengimbau nostalgia masyarakat Melayu dahulu kala.

"Sambutan yang diterima cukup luar biasa dan kita tidak menjangkakan lebih 3,000 orang hadir dalam tempoh empat jam selepas majlis bermula kira-kira jam 8 pagi hari ini.

"Pengunjung bukan sahaja dalam kalangan anak negeri, ada yang datang dari Johor, Pulau Pinang, Kedah, Pahang, Kelantan dan lain-lain lagi," katanya.