Gempa bumi: Tiada rakyat Malaysia terjejas di Syria

Zambry - Foto Bernama
Zambry - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan tiada rakyat Malaysia di Syria terjejas akibat gempa bumi berdasarkan laporan yang diterima daripada konsul jeneral kehormat di negara itu.

Zambry dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, memandangkan gegaran susulan dijangka berlaku, rakyat Malaysia di Syria telah dinasihatkan supaya senantiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan serta nasihat terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Beliau juga mengucapkan simpati dan takziah kepada mangsa dan keluarga mangsa serta kepada kerajaan dan rakyat Syria.

"Malaysia sedang siap sedia untuk menghulurkan bantuan yang diperlukan bagi meringankan beban rakyat di kawasan terjejas akibat gempa bumi kuat semalam,” menurut kenyataan itu.

Untuk bantuan, Zambry berkata, rakyat Malaysia boleh menghubungi Konsul Kehormat Malaysia di Syria melalui telefon di nombor +963 93324 5555 atau e-mel samir@honconsuladvisor.my.

Mereka juga boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Beirut melalui telefon di nombor +961 1787 144/166 atau e-mel mwbeirut@kln.gov.my dan Kedutaan Malaysia di Amman di +962 6 590 2400 atau e-mel mwamman@kln.gov.my.

Dua gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 dan 7.6 telah melanda selatan Turkiye pada Isnin yang turut menjejaskan negara jiran Syria.

Menurut kemas kini terbaru yang dikeluarkan Agensi Anadolu, bencana itu sudah meragut sekurang-kurangnya 3,419 nyawa di Turkiye manakala 1,559 orang terbunuh di Syria. - Bernama