Wanita warga asing dilarikan kerana masalah rumah tangga

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua wanita dan seorang lelaki ditahan kerana melarikan seorang wanita warga asing di Jalan 2/3A Pusat Bandar Utara di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 34 tahun pada Sabtu yang mendakwa kereta dinaiki teman wanitanya dilarikan oleh seorang lelaki yang tidak dikenal pasti.

"Dalam kejadian pada jam 11.45 malam itu, pengadu meninggalkan teman wanitanya (mangsa) di dalam kereta dengan pintu tidak berkunci dan enjin dalam keadaan masih hidup.

"Tiba-tiba pengadu dimaklumkan oleh saksi bahawa keretanya telah dibawa lari oleh seorang lelaki menuju ke jalan besar menghala ke Gombak," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Eng Lai berkata, pengadu segera menghubungi telefon bimbit mangsa tetapi mendapati ia telah dimatikan.

"Kita berjaya mengesan kereta pengadu yang ditinggalkan di tepi jalan berhampiran sebuah pasar raya besar di Rawang namun tiada mangsa di dalamnya," katanya.

Eng Lai berkata, kesemua suspek berusia 37 tahun hingga 52 tahun itu ditahan secara berasingan di Temerloh, Pahang dan Bandar Baru Sentul antara jam 1.50 pagi hingga 5.30 pagi Ahad.

"Berpandukan kepada maklumat ketiga-tiga suspek, kita berjaya menyelamatkan mangsa berusia 26 tahun di Bandar Dataran Segar, Port Dickson, pada jam 7.10 pagi hari sama," katanya.

Beliau berkata, beberapa unit telefon bimbit suspek dan milik mangsa berjaya ditemui bersama sebuah kereta yang digunakan oleh suspek untuk melarikan mangsa.

"Motif kejadian adalah berpunca daripada masalah rumah tangga, perancang utama adalah ibu dan isteri pengadu yang hendak memisahkan hubungan intim antara pengadu dan mangsa.

Eng Lai berkata, mangsa cedera ringan di hidung, muka, kepala dan badan.

"Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

"Kesemua suspek ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seskyen 362 Kanun Keseksaan," katanya.