Percepatkan PLSB Fasa 2, 3 atasi banjir di Kelantan - Ahmad

PLSB di Kampung Tersang, Pantau Panjang. (Gambar kecil: Ahmad)
PLSB di Kampung Tersang, Pantau Panjang. (Gambar kecil: Ahmad)
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan berharap Kerajaan Persekutuan mempercepatkan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 2 dan 3 bagi menangani banjir.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, keadaan bencana banjir yang masih berlaku terutama di Rantau Panjang bergantung kepada tempoh perlaksanaan projek berkenaan untuk disiapkan.

“Jadi, kami meminta dan sangat mengharapkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) supaya melaksanakan projek itu sebagai mana keputusan pentadbiran terdahulu.

“Ini penting supaya dapat menyelamatkan mereka yang terjejas banjir,” katanya selepas merasmikan Pelancaran Sistem Pengurusan Bencana Negeri Kelantan (e-Bencana Kelantan) di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Selasa.

Sejak Jumaat lalu, bencana itu sekali lagi melanda di Kampung Tersang dan To’Deh membabitkan 60 rumah penduduk selepas empat kali kejadian sama berlaku pada tahun lalu.

Pada Disember tahun lalu, Anwar memberi jaminan kerajaan akan mempercepatkan projek itu bagi Fasa 1 dan 2 tanpa kos berlebihan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan sebelum itu mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM15 bilion yang dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa proses tender supaya diteliti semula.