'Dua bulan tak dapat balik rumah, banjir termenung tak surut'

Sebahagian kediaman penduduk yang masih digenangi banjir ketika tinjauan di Kampung Tersang, Rantau Panjang. - Foto Bernama.
Sebahagian kediaman penduduk yang masih digenangi banjir ketika tinjauan di Kampung Tersang, Rantau Panjang. - Foto Bernama.
A
A
A

PASIR MAS - Seorang warga emas Asiah Mamat, 70, tidak pulang ke rumahnya dekat Kampung Tersang, Rantau Panjang, di sini selama dua bulan, berikutan kawasan penempatannya itu masih lagi digenangi air akibat banjir yang berlaku sejak November tahun lepas.

Asiah berkata, beliau ketika ini terpaksa menumpang berteduh di rumah anaknya di Tanah Merah kerana sudah berasa letih untuk membersihkan rumahnya yang sering dilanda banjir setiap tahun.

"Jika sebelum ini, apabila air surut saya akan membersihkan kawasan rumah tetapi kali ini saya sudah tidak larat memandangkan usia juga semakin bertambah.

Malah, sejak banjir November tahun lalu air belum surut sepenuhnya, tiba-tiba paras air dari Sungai Lanchang dan Danau Tok Uban melimpah semula akibat hujan lebat minggu lalu," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya, di sini pada Isnin.

Beliau berkata, bukan sahaja kawasan rumahnya ditinggalkan begitu sahaja malah segala peralatan dan perkakasan dapur turut dibiarkan kerana telah banyak rosak dan tidak boleh digunakan lagi akibat terlalu lama digenangi air.

Muhammad Afif Jazimin Ibrahim, 31, berkata, keadaan rumahnya yang sentiasa digenangi air sejak tahun lepas menyebabkan beliau berasa tidak selesa dengan bau yang kurang menyenangkan.

"Saya sekeluarga sudah lali dengan keadaan ini termasuklah kena menggunakan titi setiap hari untuk keluar masuk ke rumah, malah saya turut membina sebuah bilik yang lebih tinggi dirumah untuk meletakkan barang-barang perabot dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, menurut laporan https://publicinfobanjir.water.gov.my/ setakat pukul 5 petang tadi, Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas merekodkan bacaan paras amaran iaitu 8.59 meter. - Bernama.