Maritim rampas bubu naga

Bubu naga yang dirampas Maritim di kedudukan 3.1 nautika Barat Daya Tanjong Karang pada Ahad.
Bubu naga yang dirampas Maritim di kedudukan 3.1 nautika Barat Daya Tanjong Karang pada Ahad.
A
A
A

TANJONG KARANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor merampas 23 bubu naga di Perairan Tanjung Karang pada Ahad.

Pengarahnya, V Siva Kumar berkata, operasi jam 12.30 tengah hari itu dijalankan selepas bot ronda Maritim melakukan tugasan mengesan satu pelampung mencurigakan di 3.1 nautika Barat Daya Tanjong Karang.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati pelampung itu diikat dengan peralatan disyaki bubu naga.

"Setelah menunggu kira-kira 30 minit, tiada bot nelayan yang menghampiri kawasan terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Siva Kumar memberitahu, semua bubu naga itu dirampas dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Katanya, anggaran rampasan bubu naga bernilai RM1,150 dengan harga RM50 setiap set.

Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 11 (3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara," tambahnya.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.