Persatuan penjaja setuju urus bazar Ramadan bersama DBKL

Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) Datuk Mohamad Abdullah pada sidang media berhubung pengurusan tapak Bazar Ramadan 2019 di Jalan Tuanku Abdul Rahman hari ini. - Foto Bernama
Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) Datuk Mohamad Abdullah pada sidang media berhubung pengurusan tapak Bazar Ramadan 2019 di Jalan Tuanku Abdul Rahman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) bersetuju menguruskan 50 lokasi bazar Ramadan di seluruh ibu kota bersama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Yang Dipertuanya, Datuk Mohamad Abdullah berkata, keputusan itu dipersetujui hasil perbincangan bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, pada awal bulan ini.

"Sebelum ini berlaku kekeliruan berhubung pengurusan bazar Ramadan dan pendaftaran secara online namun semuanya telah diselesaikan dengan keputusan 'win-win' yang dipersetujui bersama dengan sedikit kelonggaran dan syarat-syarat tertentu.

“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu kami mendapatkan semula 50 lokasi penganjuran bazar Ramadan 2019 bagi membantu perniagaan anggota kami sepanjang bulan Ramadan," katanya kepada pemberita pada sidang media hari ini.

Pada 24 Februari lalu, PPPKMWP mengemukakan rayuan kepada DBKL untuk menyerahkan permohonan menguruskan semula sebanyak 2,110 tapak bazar Ramadan berikutan pengumuman pihak berkuasa tempatan itu untuk mengurus sendiri kesemua 55 lokasi bermula tahun ini.

Namun pada 4 April, Khalid mengumumkan lima daripada jumlah lokasi bazar Ramadan itu akan diuruskan sepenuhnya DBKL, manakala 50 lagi akan diserahkan pengurusannya kepada persatuan peniaga dan penjaja daripada segi penyusunan tapak dan kebersihan.

Mohamad berkata, pihaknya sedang menguruskan kira-kira 2,000 permohonan tapak bazar Ramadan yang masih dalam proses, berikutan pendaftaran online mereka ditolak baru-baru ini.

"Berikutan keputusan DBKL untuk memberi hak pengurusan kepada kami, jadi kami diberi tempoh masa seminggu sebelum bulan Ramadan untuk menyerahkan kesemua borang permohonan tapak bazar kepada DBKL.

"Permohonan itu masih dijalankan secara online, cuma ada beberapa kelonggaran antaranya kami cuba untuk mendapatkan tapak asal kepada peniaga-peniaga yang telah berniaga lebih 30 tahun di tapak tradisi mereka," katanya.
Artikel Berkaitan:


Buat pertama kali bermula tahun ini, DBKL telah membuka permohonan permit perniagaan bazar Ramadan 2019 secara online bermula 15 Februari lepas menerusi laman web http://elesen.dbkl.gov.my/ebazar dan berakhir 15 Mac lepas. - Bernama