Dua jurulatih Kelantan United berguru di Eropah

Tengku Hazman (kanan) dan Nazrulerwan akan mendapatkan lesen kejurulatihan di Eropah. - Foto Facebook Kelantan United
Tengku Hazman (kanan) dan Nazrulerwan akan mendapatkan lesen kejurulatihan di Eropah. - Foto Facebook Kelantan United
A
A
A

SKUAD Kelantan United enggan menoleh ke belakang bagi mempersiapkan pasukan yang mantap untuk bersaing dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) apabila menghantar dua penolong jurulatih berguru di Eropah.

Tengku Hazman Raja Hassan dan Nazrulerwan Makmor akan berkelana ke Hungary dan Croatia selama tiga minggu untuk mendapatkan lesen kejurulatihan Diploma Pro AFC.

Pengalaman dan pengetahuan yang ditimba sudah pasti akan diterjemahkan untuk membantu jurulatih, Tomas Trucha merangka taktikal ampuh bagi mengharungi aksi Liga Super musim 2023.

"Mereka bertolak ke Eropah malam tadi (Ahad) dan dijangka berada di Crotia serta Hungary selama tiga minggu.

"Ia sebahagian daripada rangka tugasan mereka untuk mendapatkan lesen kejurulatihan Diploma Pro AFC," ujar Kelantan United dalam catatan di Facebook pada Isnin.

Tengku Hazman dan Nazrulerwan dijangka pulang ke tanah air pada 25 Februari.

Ia membolehkan mereka untuk menyertai barisan kejurulatihan Kelantan United bagi menempuh perlawanan pertama Liga Super menentang Selangor FC yang diadakan sehari selepas itu.

"Pihak Kelantan United FC mendoakan agar urusan mereka di sana dipermudahkan oleh-NYA.

"Selamat berjaya Nazrulerwan dan Tengku Hazman," ujar Kelantan United.