Gerakkan kempen tanam dan ternak sendiri

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KETIKA isu harga dan bekalan barang keperluan terus menjadi rungutan, kenaikan mendadak harga beberapa jenis sayuran menambah resah bukan sahaja pengguna, malah golongan peniaga sendiri.

Ini bukan isu baharu sebaliknya berlaku saban tahun atas pelbagai faktor sama ada di luar jangka atau memang sudah dirancang. Ia berterusan pada tahun 2023, sekali gus mempengaruhi kos sara hidup rakyat tidak kira di bandar atau luar bandar.

Sebenarnya, orang ramai boleh mengurangkan masalah ini dengan kembali kepada perkara paling asas iaitu tanam dan ternak untuk keperluan sendiri atau komuniti. Program seperti kebun komuniti dan kebun dapur sudah dilaksanakan sebelum ini dan wajar diperkasa dan diperluaskan menerusi galakan berterusan kerajaan dan agensi berkaitan.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan atau dahulunya dikenali sebagai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menggerakkan program kebun komuniti sejak tahun 1997, disusuli pelancaran kebun tanaman makanan (edible garden) pada tahun 2008.

Turut dilancarkan ialah Program Bumi Hijau di bawah Dasar Keselamatan Makanan dan diperkukuhkan pada tahun 2008 dengan konsep ‘tanam, ternak dan makan sendiri’ menerusi sokongan KPKT untuk dilaksanakan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pada 2021, Menteri Pertanian dan Industri Makanan ketika itu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memaklumkan bahawa kementerian telah menyalurkan insentif lebih RM63 juta melalui Program Kebun Komuniti di seluruh negara. Sebanyak RM28.82 juta telah diperuntukkan bagi program berkenaan dalam tempoh 2014 hingga 2020.

Jelas usaha untuk membudayakan aktiviti perkebunan komuniti ini sudah wujud, namun persoalannya adakah ia mencapai matlamat?

Dalam mendepani krisis harga ketika ini, adalah lebih baik kerajaan mengembalikan semula konsep berkenaan untuk menggalakkan rakyat membudayakan sikap tidak terlalu bergantung kepada orang luar untuk mendapatkan bekalan makanan.

Banyak contoh kejayaan, antaranya usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Dapur Infaq Ummah Kuantan yang mengusahakan projek tanaman terung secara fertigasi, diusahakan golongan rentan di atas tanah seluas 0.025 hektar di Jalan Wong Ah Jang di Kuantan, Pahang.

Selain itu, usaha komuniti Projek Perumahan Rakyat Disewa (PPRS) Pinggiran Putra, Kuantan mendayakan kebun komuniti dengan tanaman terung secara fertigasi juga menampakkan hasil apabila mampu meraih hasil tuaian 60 hingga 70 kilogram (kg) seminggu dengan pendapatan lebih RM5,000 sebelum ini. Bahkan, ada beberapa kawasan lain di Kuantan turut melaksanakan program sebegini.

Sinar Harian juga pernah melaporkan usaha penduduk sebuah taman perumahan menanam sayur di kawasan rumah masing-masing dan menjualnya di ‘pasar tani’ yang dianjurkan sendiri pada hujung minggu.

Di peringkat agensi kerajaan pula, Balai Bomba Nenasi, Pekan boleh dijadikan contoh apabila projek tanaman fertigasi yang diusahakan membuahkan hasil lebih 100 kg lada bara. Malah, penulis juga tertarik dengan satu video TikTok usaha seorang warga emas (lokasi tidak pasti) menternak ayam telur dalam reban kecil di belakang rumah dan mampu mengutip telur lebih 50 butir sehari.

Tidak mustahil, ada ramai lagi rakyat Malaysia yang melakukan usaha sebegini membuktikan banyak boleh dilakukan dalam menangani isu makanan selain daripada mengeluh. Sayang sekali jika usaha mereka terhenti begitu sahaja.

Justeru, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin boleh mempertimbangkan langkah ini sebagai jalan penyelesaian terhadap isu yang sedang dihadapi. Mungkin kerajaan boleh menyediakan insentif atau bantuan sebagai galakan kepada mereka yang terlibat.

Jabatan Pertanian sebelum ini juga ada membantu menyediakan latihan, khidmat nasihat dan membekal input pertanian untuk kebun komuniti, namun ia perlu diteruskan melalui kaedah lebih mudah.

Kalau dilihat pada zaman dahulu, penduduk kampung lebih suka memanfaat kawasan di halaman dan belakang rumah dengan menanam pelbagai tanaman termasuk sayuran dan menternak ayam itik untuk keperluan diri sendiri. Sebab itu hidup orang kampung dahulu tidak sesukar orang bandar kerana keperluan makanan mereka sudah tersedia di kawasan rumah sahaja.

Bukan sahaja lebih menjimatkan, malah lebih menyihatkan dengan aktiviti berfaedah serta memperoleh makanan berkualiti untuk seisi keluarga.

* Nik Amirulmu'Min Nik Min ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Pahang