6,381 laman judi dalam talian disekat

SKMM menyekat sebanyak 6,381 laman sesawang judi dalam talian bagi tempoh antara 2020 sehingga 2022. - Foto 12RF
SKMM menyekat sebanyak 6,381 laman sesawang judi dalam talian bagi tempoh antara 2020 sehingga 2022. - Foto 12RF
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat sebanyak 6,381 laman sesawang judi dalam talian bagi tempoh antara 2020 sehingga 2022.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad, agensi itu memaklumkan sekatan tersebut dilakukan berdasarkan permohonan rasmi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikut kesalahan di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Akta 289).

Selain itu, sejumlah 212,399 talian telefon termasuk talian mudah alih dan tetap yang menghantar 'spam' menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) meragukan seperti mempromosikan judi dalam talian, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain turut ditamatkan perkhidmatan sepanjang tempoh berkenaan.

"Dalam hal ini, PDRM menjalankan tindakan dan penguatkuasaan manakala SKMM berperanan memberikan bantuan teknikal termasuk pembekalan maklumat dan sekatan laman sesawang berunsur perjudian berdasarkan permohonan.

"Selain tindakan penguatkuasaan, kesedaran diri, pendidikan serta kawalan kendiri adalah kunci dalam usaha membanteras perjudian dalam talian," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu SKMM turut menyarankan orang ramai untuk turut memainkan peranan dalam usaha menyekat aktiviti promosi judi dalam talian dengan melaporkan iklan judi yang diterima melalui SMS.

Tindakan tersebut bagi memudahkan agensi terbabit membatalkan talian dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi terlibat.

"Sekiranya pengguna menerima iklan judi melalui aplikasi pesanan ringkas seperti WhatsApp dan media sosial seperti Facebook, laporkan nombor talian atau akaun tersebut kepada penyedia perkhidmatan aplikasi atau penyedia platform media sosial supaya tidak dapat menghantar iklan promosi judi dalam talian kepada pengguna yang lain," katanya.