Dua wanita maut, tiga cedera tersepit dalam kereta

Keadaan salah sebuah kereta remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Junid, Muar pada awal pagi Ahad.
Keadaan salah sebuah kereta remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Junid, Muar pada awal pagi Ahad.
A
A
A

MUAR – Dua wanita maut apabila kenderaan yang dipandu masing-masing terlibat dalam kemalangan di Jalan Junid, di sini pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan yang berlaku sekitar 1.15 pagi itu turut mengakibatkan tiga lagi mangsa mengalami kecederaan.

Menurutnya, Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar telah bergegas ke tempat kejadian selepas menerima maklumat mengenai satu kemalangan maut di Jalan Junid melibatkan dua kereta.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa kereta jenis Proton Wira dari arah Desa Keroma yang menghala ke Bandar Muar telah bertembung dengan kereta jenis Proton Saga BLM yang memasuki simpang secara mengejut dari arah bertentangan hingga menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbabas ke kanan jalan.

“Akibat kemalangan tersebut, seorang wanita yang juga merupakan penumpang kereta jenis Proton Wira berusia 34 tahun dan seorang pemandu wanita kereta jenis Proton Saga BLM berusia 45 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Tiga mangsa lain mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) APJ 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian terbabit diminta hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sementara itu menurut Pegawai Bomba Kanan II yang juga merupakan Komander Operasi bagi kemalangan berkenaan, Misholifadzil Mohammad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan berkenaan pada Ahad jam 12.59 tengah malam.

Katanya, satu jentera FRT dan dua unit RIM dengan sembilan anggota telah dihantar ke lokasi kemalangan berkenaan.

“Sebaik tiba ke lokasi, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kemalangan berkenaan melibatkan kereta jenis Proton Wira dan Proton Saga BLM.

“PKO kemudiannya menggunakan peralatan khas rescue tools and stretcher bagi membantu lima mangsa yang tersepit manakala dua lagi mangsa disahkan telah meninggal dunia di lokasi.

“Dua mangsa yang meninggal kemudiannya diserahkan kepada pihak polis manakala tiga mangsa yang tersepit dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.