Baling botol kaca dari balkoni: Tujuh individu ditahan

Tular video di media sosial tindakan seorang individu membaling botol dari balkoni sebuah kondominium pada Jumaat lalu.
Tular video di media sosial tindakan seorang individu membaling botol dari balkoni sebuah kondominium pada Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua pekerja pusat hiburan antara tujuh individu diberkas dipercayai terlibat dalam kejadian membaling botol kaca dari balkoni sebuah kondominium ke jalan raya arah di Jalan Cendana, Kampung Baru di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua suspek diberkas terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 24 tahun.

"Mereka diberkas menerusi serbuan berasingan pada Sabtu dan Ahad oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

"Serbuan dijalankan turut merampas satu telefon bimbit dan sepasang pakaian," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, dua daripada tujuh suspek yang diberkas kini direman tiga hari bagi siasatan lanjut.

"Hasil ujian saringan mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis ketamin dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan berkaitan kesemua tangkapan dijalankan di bawah Seksyen 268 Kanun Keseksaan, Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya.

Pada Jumaat, tular video di media sosial memaparkan tindakan seorang individu bertindak membaling botol dari balkoni sebuah kondominium ke arah jalan raya.

Siasatan awal dijalankan polis mendapati kejadian dipercayai berlaku di sebuah premis kediaman di Jalan Cendana, Kampung Baru.